RAGAM BAHASA Secara umumnya, ragam bahasa bermaksud kepelbagaian penggunaan bahasa menurut konteks. Terdapat dua jenis ragam bahasa, iaitu bahasa formal dan bahasa tidak formal. Bahasa Formal Bahasa formal ialah bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, seperti urusan surat-menyurat, semasa mengajar atau bertutur dengan orang yang kita tidak kenal mesra atau lebih tinggi status dan pangkatnya. Bahasa formal mengambil kira sebutan, intonasi, pilihan perkataan, nahu, penggunaan peribahasa dan budaya sesuatu bahasa itu sepenuhnya. Ia digunakan dengan betul dan teratur. Bahasa formal merujuk kepada penggunaan bahasa yang lebih teratur, lengkap dan memerlukan segala strategi pertuturan untuk memberi gambaran yang beradat dan hormat dalam konteks formal. Bahasa formal tidak sama dengan bahasa rasmi. Bahasa rasmi menyatakan taraf sesuatu bahasa, manakala bahasa formal merujuk kepada keadaan penggunaan sesuatu bahasa. Oleh tu, bahasa formal lebih mementingkan penggunaan bahasa yang sesuai dengan konteks penggunaan bahasa itu, ganti nama yang berpadanan dan kata-kata aluan yang tersusun rapi. Bahasa formal biasanya memerlukan penggunaan nahu yang lengkap dan tidak melanggar hukum tatabahasa Melayu. Selain itu, bahasa formal juga memerlukan intonasi yang sempurna, bersesuaian dengan konteks. Secara ringkasnya, bahasa formal bersifat lebih rasmi den teratur dengan hukum-hukum yang telah ditetapkan. Bahasa Tidak Formal Bahasa tidak formal merupakan bahasa yang digunakan dalam situasi tidak rasmi seperti dalam perbualan sehari-hari, khususnya dengan orang yang kita kenal mesra. Bahasa tidak formal ialah bahasa yang digunakan dengan tidak mengambil kira sebutan, intonasi, pilihan perkataan, nahu, penggunaan peribahasa dan budaya sesuatu bahasa itu sepenuhnya. Bahasa tidak formal dapat dilihat melalui cirinya yang ketara, iaitu percampuran kod. Kod dalam bahasa ialah unsur-unsur bahasa yang digunakan dalam perhubungan, umumnya perkataan atau sebarang unsur bahasa lain. Percampuran kod merupakan salah satu ciri yang paling menonjol dalam Bahasa Melayu tidak formal. Percampuran kod berbeza dengan pertukaran kod. Pertukaran kod ialah penggunaan bahasa yang rapi dan terkawal. Cuma satu bahasa atau kod lain digunakan untuk memnerikan suatu kesan tertentu. Contoh : I suka menggunakan komputer kerana ia sophisticated dan mempercepatkan kerja-kerja pejabat I yang bertimbun-timbun. |